Bismillahirahmanirahim.
Semalam dikejutkan dengan berita kematian seorang senior di sekolah dulu. Muda lagi umurnya. Belum pun masuk ke usia 21 tahun. Berdasarkan apa yang aku maklum, arwah meninggal kerana accident dalam perjalanan ke program dakwah. Allahu. Tadi ada borak-borak dengan senior sekolah, yang sekelas dengan arwah, katanya ketika jenazah arwah sampai ke rumah, terhidu bauan yang wangi oleh tetamu-tetamu yang hadir. Allahu.
Arwah dulu seorang yang pendiam. Memang aku tak rapat langsung dengan arwah. Sekadar kenal muka sahaja. Namun pemergian arwah membawa impak yang besar kepada aku. Mungkin kerana perbezaan umur yang tak ketara, juga kerana kami dididik dengan fikrah yang sama. Untuk memperjuangkan agama Allah. Membawa manusia daripada menyembah sesama makhluk kepada mengesakan Allah yang satu.
Perginya arwah dalam bergerak kerja demi Islam. Allahu. Kematian yang indah. Mati dalam memperjuangkan agama Allah. Allahu. Jujur. Aku terkilan. Sepanjang hidupnya mungkin arwah kurang dikenali, namun pemergiannya berjaya membawa sekeping hati untuk menginsafi kealpaan sendiri dalam berjuang untuk agama-Nya. Allahu.
Aku terfikir, arwah pergi dalam keadaan semua orang redha kepadanya, dan Allah redha kepadanya, in shaa Allah. Arwah pergi meninggalkan dunia ini dengan peringatan buat mereka yang masih hidup untuk terus berjuang demi agama ini. Namun andai kata tiba saat kematianku, mampukah aku untuk pergi dalam husnul khatimah? Mampukah aku berjuang demi agama ini sehingga penghujung hayatku? Mampukah aku untuk terus teguh bersama gerabak ini dengan kesedaran yang hakiki?
Buat aku termenung panjang. Buat aku teringat ucapan saudara Afiq.
"Cuba entum bayangkan, suatu hari Rasulullah saw muncul dalam tidur entum. Dengan serban di kepala baginda dan tongkat di tangan baginda, serta jubah baginda yang lusuh. Lantas Baginda tanyakan kepada entum, 'apa khabar umatku pada hari ini?' Lalu apa yang entum mampu jawab kepada baginda? Sanggupkah entum beritakan kepada baginda akan keadaan umat baginda pada hari ini, setelah entum telusuri sunnah perjuangan baginda dalam memperjuangkan Islam? Lalu apa yang entum akan jawab kalau baginda bertanya lagi, 'Apa yang kamu dah buat untuk umatku? Wahai Afiq, apa yang kamu dah sumbangkan untuk umatku pada hari ini?' Entum rasa ana mampu ke jawab soalan itu? Ana rasa seolah ana tak buat apa-apa pon untuk umat Islam pada hari ini. Kosong."
Allahu. Saudara Afiq ni merupakan seorang yang sangat hebat di pentas dakwah. Seorang yang berperibadi sederhana. Dari air mukanya, boleh digambarkan betapa dekat dirinya dengan Allah yang maha esa. Namun beliau sendiri tak mampu nak jawab soalan kedua itu. Allahu. Lantas apa yang aku mampu jawab. Bahkan untuk berhadapan dengan Rasulullah saw pun buat aku rasa hina dan malu. Malu kerana aku langsung tak bersungguh untuk bergerak kerja demi Islam. Malu kerana jauhnya hubungan aku dengan sang pencipta. Malu kerana jarangnya aku berselawat ke atas baginda. Apatah lagi untuk menyumbangkan sesuatu kepada umat ini. Jauh. Aku masih jauh. Bahkan aku mungkin masih jauh dari garisan permulaan. Jauh.
Mana usaha aku untuk tegakkan kalimah La ilaaha illallah? Setitik peluh pun tak pernah keluar dari tubuh aku kerana bergerak kerja demi Islam. Setitis air mata pun tak pernah keluar dari mata aku kerana memikirkan umat yang makin tenat. Allahu. Jauhnya aku. Aku kata aku bergerak kerja demi Islam, tapi hubungan dengan Rabb pun masih tak terjaga. Sekelumit rindu kepada Rasulullah saw pun tak pernah terpendam. Jauhnya aku dari jalan ini.
Allahu. Moga-moga Allah tetapkan hatiku dan hatimu wahai sahabat dalam memperjuangkan Islam. Moga-moga perjuangan kita tak terhenti sekadar di waktu lapang. Moga-moga kita makin bertambah ilmu dan amal demi manfaat umat ini. Amin ya rabbal alamin.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment