Thursday, 29 December 2016

Kerinduan

Bismillah,

Berbulan sudah berlalu sepi tanpa khabar,
Maka hari ini aku gagahkan jiwa dan hati,
Mengumpul segala kudrat dan tenaga pada sekerat tangan yang telah kian lama 'berehat',
Dan pintu hati diketuk perlahan,
Niatnya cuma satu,
Ingin diajukan soalan yang dah berkarat dalam otak,

"Apa khabar imanku hari ini?"

Merenung kembali segala bait dan tulisan sendiri,
Menghayati setiap patah perkataan yang terzahir,
Buat mata ini sedikit berair.
Buat jiwa ini mengenang memori lama,
Memori yang penuh dengan kata-kata lantang atas jalan juang,
Memori yang tak lekang dari mengingati si Dia,
Memori yang kian buat seketul jiwa makin rindu,
Rindu untuk kembali pada waktu itu.

Betapa selama ini hati kecil berbisik sepi mengharap puisi cinta dari mereka yang di sekeliling,
Kerna hati kecil ini mahukan kata-kata cinta yang menembus jiwa,
Agar ia tidak lagi leka dari jalan juang ini,
Hati kecil ini mengharap pujukan lembut dari yang sefikrah,
Agar ia tidak hanyut dengan cinta selain dari Yang memiliki cinta.

Namun harapan sepi itu terus kekal menjadi harapan palsu,
Yang membaham semangat juang seorang hamba,
Membunuh, menikam jiwa seorang yang masih 'budak',
Memadam segala impian dan cita untuk kekal istiqamah,
Perlahan-lahan, tanpa sedikit bunyi,
Langsung tak terperasankan,
Dan perlahan-lahan jiwa itu mula mati,
Diam,
Bisu,
Sedangkan empunya jiwa itu masih hanyut,
Dan terus hanyut,
Lemas dalam buaian emosi dan kesibukan dunia.

Namun kini jiwa itu perlu bangun,
Perlu didaki jalan ini mahupun berliku berduri,
Perlu ditempuh pengembaraan ini meski payah,
Kerna Yang memiliki cinta itu sedang menanti,
Menunggu pulangnya seorang hamba yang pernah berbaiah pada-Nya.

Lalu pabila diteroka seutas kata yang terlahir dari bisik sendiri,
Hati dan jiwa ini mula menangis sendiri,
Betapa jiwa ini akhirnya dipujuk oleh kata-kata sendiri,
Betapa aku yang dahulu jauh lebih kuat dan gagah,
Betapa sekeping hati ini dahulunya jauh lebih suci,
Jauh lebih ikhlas.

Sedang aku mengharap pujuk cinta dari manusia lain,
Allah hadirkan aku yang dahulu untuk memujuk,
Allah datangkan jiwa yang pernah suci itu untuk membasuh kembali segala karat dan kotoran yang melekat pada jiwa ini,
Maka akhirnya hati yang 'tua' itu lah jua yang merawat segala penyakit yang bersarang pada hati yang sudah tawar ini.

Apa khabar imanku hari ini?

Moga terus thabat wahai hati dan jiwa yang mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa.
Moga jiwa ini terus dijirus kata-kata cinta dari hati yang tulus menginginkan cinta-Nya.


- - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - - - -
Dari hati yang kini,

Untuk hati yang akan datang.






Tuesday, 1 March 2016

Mampu kah aku?

Bismillahirahmanirahim.
Semalam dikejutkan dengan berita kematian seorang senior di sekolah dulu. Muda lagi umurnya. Belum pun masuk ke usia 21 tahun. Berdasarkan apa yang aku maklum, arwah meninggal kerana accident  dalam perjalanan ke program dakwah. Allahu. Tadi ada borak-borak dengan senior sekolah, yang sekelas dengan arwah, katanya ketika jenazah arwah sampai ke rumah, terhidu bauan yang wangi oleh tetamu-tetamu yang hadir. Allahu.
Arwah dulu seorang yang pendiam. Memang aku tak rapat langsung dengan arwah. Sekadar kenal muka sahaja. Namun pemergian arwah membawa impak yang besar kepada aku. Mungkin kerana perbezaan umur yang tak ketara, juga kerana kami dididik dengan fikrah yang sama. Untuk memperjuangkan agama Allah. Membawa manusia daripada menyembah sesama makhluk kepada mengesakan Allah yang satu.
Perginya arwah dalam bergerak kerja demi Islam. Allahu. Kematian yang indah. Mati dalam memperjuangkan agama Allah. Allahu. Jujur. Aku terkilan. Sepanjang hidupnya mungkin arwah kurang dikenali, namun pemergiannya berjaya membawa sekeping hati untuk menginsafi kealpaan sendiri dalam berjuang untuk agama-Nya. Allahu.
Aku terfikir, arwah pergi dalam keadaan semua orang redha kepadanya, dan Allah redha kepadanya, in shaa Allah. Arwah pergi meninggalkan dunia ini dengan peringatan buat mereka yang masih hidup untuk terus berjuang demi agama ini. Namun andai kata tiba saat kematianku, mampukah aku untuk pergi dalam husnul khatimah? Mampukah aku berjuang demi agama ini sehingga penghujung hayatku? Mampukah aku untuk terus teguh bersama gerabak ini dengan kesedaran yang hakiki?
Buat aku termenung panjang. Buat aku teringat ucapan saudara Afiq.
"Cuba entum bayangkan, suatu hari Rasulullah saw muncul dalam tidur entum. Dengan serban di kepala baginda dan tongkat di tangan baginda, serta jubah baginda yang lusuh. Lantas Baginda tanyakan kepada entum, 'apa khabar umatku pada hari ini?' Lalu apa yang entum mampu jawab kepada baginda? Sanggupkah entum beritakan kepada baginda akan keadaan umat baginda pada hari ini, setelah entum telusuri sunnah perjuangan baginda dalam memperjuangkan Islam? Lalu apa yang entum akan jawab kalau baginda bertanya lagi, 'Apa yang kamu dah buat untuk umatku? Wahai Afiq, apa yang kamu dah sumbangkan untuk umatku pada hari ini?' Entum rasa ana mampu ke jawab soalan itu? Ana rasa seolah ana tak buat apa-apa pon untuk umat Islam pada hari ini. Kosong."
Allahu. Saudara Afiq ni merupakan seorang yang sangat hebat di pentas dakwah. Seorang yang berperibadi sederhana. Dari air mukanya, boleh digambarkan betapa dekat dirinya dengan Allah yang maha esa. Namun beliau sendiri tak mampu nak jawab soalan kedua itu. Allahu. Lantas apa yang aku mampu jawab. Bahkan untuk berhadapan dengan Rasulullah saw pun buat aku rasa hina dan malu. Malu kerana aku langsung tak bersungguh untuk bergerak kerja demi Islam. Malu kerana jauhnya hubungan aku dengan sang pencipta. Malu kerana jarangnya aku berselawat ke atas baginda. Apatah lagi untuk menyumbangkan sesuatu kepada umat ini. Jauh. Aku masih jauh. Bahkan aku mungkin masih jauh dari garisan permulaan. Jauh.
Mana usaha aku untuk tegakkan kalimah La ilaaha illallah? Setitik peluh pun tak pernah keluar dari tubuh aku kerana bergerak kerja demi Islam. Setitis air mata pun tak pernah keluar dari mata aku kerana memikirkan umat yang makin tenat. Allahu. Jauhnya aku. Aku kata aku bergerak kerja demi Islam, tapi hubungan dengan Rabb pun masih tak terjaga. Sekelumit rindu kepada Rasulullah saw pun tak pernah terpendam. Jauhnya aku dari jalan ini.
Allahu. Moga-moga Allah tetapkan hatiku dan hatimu wahai sahabat dalam memperjuangkan Islam. Moga-moga perjuangan kita tak terhenti sekadar di waktu lapang. Moga-moga kita makin bertambah ilmu dan amal demi manfaat umat ini. Amin ya rabbal alamin.
Wallahua'lam.