Assalamualaikum.
Petang. Dingin. Tenang.
Aku duduk di suatu sudut. Merenung. Jauh.
Lantas aku terfikir, "sampai bila ?". Sampai bila aku nak lari ? Sampai bila aku nak lari dari masalah ? Masalah itu lumrah. Masalah itu, semua orang ada.
"Habis kenapa aku lihat semua orang bagaikan tenang dan bahagia menghadapi hidup ini ? Mereka seolah-olah tidak punya masalah. Mengapa aku tak bisa bahagia seperti mereka semua ?"
Kerana mereka berani menghadapi masalah mereka. Mereka berusaha mencari jalan penyelesaian. Bukannya lari.
"Tapi aku tak kuat. Aku tak tahu bagaimana mahu menyelesaikan masalah."
Manusia itu sememangnya lemah. Tak ada yang kuat. Tapi, manusia itu punyai tempat kembali untuk memohon kekuatan- Allah ! Di mana kau campakkan Allah dalam kehidupan kau selama ini ?
" Aku sentiasa letakkan Allah itu dekat denganku. Aku solat dan aku mengaji. Kadang aku berpuasa sunat pada Isnin dan Khamis. Habis, mengapa aku tak bisa mendapat kekuatan itu ?"
Solat itu, perlulah didirikan di awal waktu. Dengan khusyuk. Dengan Ikhlas. Adakah solatmu begitu ? Al-Quran itu bukan untuk ditatap sahaja tulisannya. Tapi untuk dihayati dan difahami maknanya. Apakah kau pernah mentadabbur al-Quran ? Dan puasa itu bukan sahaja menahan diri dari makan dan minum tapi menahan segala anggotamu dari berbuat maksiat. Apakah solatmu, bacaan al-Quranmu dan puasamu sepertimana yang aku gambarkan ?
"Aku tak mampu. Aku tak mampu. Aku tak mampu laksanakan semua itu, kerna aku tahu imanku lebih nipis dari kulit bawang. Kerna aku tahu aku orang yang sentiasa melakukan dosa."
Habis, kau mahu terus merintih begitu ? Mengharapkan hidayah dan bantuan Allah akan datang kepadamu tanpa usaha ? Kau silap !
"Lantas apa yang harus aku lakukan ? Aku buntu. Aku seperti seseorang yang berada di tengah-tengah lautan. Aku keliru. Aku sudah tak punya harapan."
Pulang. Pulang pada Dia. Pulanglah sementara kau masih ada masa.
"Aku cuba. Tapi aku tak kuat. Aku... aku dah penat. Aku ingin biarkan sahaja diri ini dilambung ombak. Biarlah aku hanyut. Aku sudah tak punya tenaga untuk mencari secebis harapan"
Wahai diri, Allah itu dekat. Dekat sangat. Bahkan Allah mendengar segala isi hatimu ini. Tidakkah kau malu, wahai diri ? Menangis kerna tak punya harapan, sedangkan Allah itu sentiasa menantimu untuk kembali kepada-Nya. Jika kau mahu menangis dan merintih, mengapa tidak kau lakukan dihadapan-Nya ? Mengapa kau memilih untuk menangis sendiri ? Saat kau rebah, ingatlah, Allah itu dekat. Allah itu dekat. Allah itu dekat. Mengadulah pada-Nya. Tangisi nasibmu di hadapan-Nya. Moga kau bisa kuat menghadapi kehidupan.
Allah. Allah. Allah. Kurniakan aku kekuatan. Sungguh, aku sudah tak berdaya lagi...
-fytroe-
No comments:
Post a Comment