Sunday 1 January 2017

Kalam cinta dari hati

Bila mana hati sudah mula tawar, seluruh tubuh terasa seakan rebah. Degup jantung mulai berdetak perlahan. Sayup dan terus sayup hingga tidak lagi sedar akan degup lemah itu. Minda dan fikiran makin menuju suram. Kelam dan hambar, tanpa nadi.

Aku mula rasa lemah, seakan tiada matlamat hidup ini. Aku seolah keliru. Ke mana harus dituju? Jalan apa kah yang terbaik buat aku? Apakah jalan ini, jalan yang serasi untuk aku?

Dalam buntu dan keliru, aku mengharap secebis cahaya. Hanya secebis. Tak banyak yang aku harapkan, melainkan sedikit kata dan ungkap dari dia. Ya, aku tahu, hanya kepada Allah, tempat yang layak aku kembali, mengadu dan merintih. Namun, tak bisakah aku pohon dan merintih pada-Nya, agar dihadirkan dia untuk memujuk hati yang sudah tawar ini? Meski walau sekejap cuma, aku ingin sekali menatap wajahnya. Ingin sekali aku meluahkan secebis rasa ini kepada dia.

Ya, aku tahu. Sebenar-benar cinta itu hanya pada Yang Esa. Namun, tak bisa kah aku, hamba yang kerdil ini, mahukan sedikit perhatian dari hamba-Nya yang lain? Bukanlah rasa ini untuk menidakkan kasih dan rahmat Yang Berkuasa, melainkan sekadar untuk merasai setitis dari rasa itu melalui si dia. Meskipun rasa ini mungkin hanya sekadar rasa yang hina, yang akan terpadam dengan sendirinya seiring waktu yang berdetak.

Aku tahu. Aku cukup tahu. Harapan ini suatu harapan yang melampau. Mana mungkin hamba hina ini mendambakan cinta dari hamba yang lain, sedangkan Yang Maha Menciptakan itu sedang menanti kepulangan hamba hina ini. Hamba hina yang perlahan-lahan mulai menjauh dari Dia. Ya aku maklum. Harapan ini seakan mustahil. Namun tak bisa kah aku, walau sedetik, menikmati cinta itu?

Bukannya tidak diusaha, bukannya tidak dicuba, untuk membuang rasa ini.

Aku cuba dan terus mencuba. Dipujuk diri sendiri dengan kalam puisi dari hati yang ikhlas. Dilazimkan diri ini dengan kalam bicara dari Ilahi. Diulang dan terus diulang akan tujuan sebenar tercipta seorang hamba di dunia ini. Setiap detik, Setiap masa. Hari demi hari.

Namun apalah malang sekali hamba hina ini, kerna cintanya pada si dia itu kelihatannya makin menebal dan menggunung tinggi. Berkali dicuba untuk menidakkan rasa itu, namun di setiap kali itu lah, bertambahnya rindu dan kasih pada dia. Bercambah lebat tanpa henti.

Dikorek dikikis rasa hati ini, namun yang dibuang itu hanya suatu harapan. Harapan yang bisa sahaja berkunjung kembali, menghinggap kemas pada hati yang buntu cinta ini. Dan begitu lah seolahnya kisah cinta yang tak kesampaian hingga saat ini. Meski yang didamba cinta darinya itu masih sahaja wujud. Masih sahaja menghembus dan menghela nafas. Namun sayang, cinta ini langsung tidak pernah sampai kepada si dia.

Maka aku di sini terus mengharap dan menyemai cita, agar suatu hari nanti, walau sedetik, walau sedikit, hati ini bisa merasakan cinta dari dia. Dan saat itu, aku akan mula melepaskan. Perlahan-lahan akan diuraikan simpulan rasa cinta ini dari hati kecil yang hina ini. Dan saat itu jua, pintu hati yang hina ini tidak akan lagi terbuka, untuk mendamba cinta selain dia dan Dia. Cukup hanya dia dan Dia.


_ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _ _
Dari hati yang menanti,

Kepada hati yang dirindu



Thursday 29 December 2016

Kerinduan

Bismillah,

Berbulan sudah berlalu sepi tanpa khabar,
Maka hari ini aku gagahkan jiwa dan hati,
Mengumpul segala kudrat dan tenaga pada sekerat tangan yang telah kian lama 'berehat',
Dan pintu hati diketuk perlahan,
Niatnya cuma satu,
Ingin diajukan soalan yang dah berkarat dalam otak,

"Apa khabar imanku hari ini?"

Merenung kembali segala bait dan tulisan sendiri,
Menghayati setiap patah perkataan yang terzahir,
Buat mata ini sedikit berair.
Buat jiwa ini mengenang memori lama,
Memori yang penuh dengan kata-kata lantang atas jalan juang,
Memori yang tak lekang dari mengingati si Dia,
Memori yang kian buat seketul jiwa makin rindu,
Rindu untuk kembali pada waktu itu.

Betapa selama ini hati kecil berbisik sepi mengharap puisi cinta dari mereka yang di sekeliling,
Kerna hati kecil ini mahukan kata-kata cinta yang menembus jiwa,
Agar ia tidak lagi leka dari jalan juang ini,
Hati kecil ini mengharap pujukan lembut dari yang sefikrah,
Agar ia tidak hanyut dengan cinta selain dari Yang memiliki cinta.

Namun harapan sepi itu terus kekal menjadi harapan palsu,
Yang membaham semangat juang seorang hamba,
Membunuh, menikam jiwa seorang yang masih 'budak',
Memadam segala impian dan cita untuk kekal istiqamah,
Perlahan-lahan, tanpa sedikit bunyi,
Langsung tak terperasankan,
Dan perlahan-lahan jiwa itu mula mati,
Diam,
Bisu,
Sedangkan empunya jiwa itu masih hanyut,
Dan terus hanyut,
Lemas dalam buaian emosi dan kesibukan dunia.

Namun kini jiwa itu perlu bangun,
Perlu didaki jalan ini mahupun berliku berduri,
Perlu ditempuh pengembaraan ini meski payah,
Kerna Yang memiliki cinta itu sedang menanti,
Menunggu pulangnya seorang hamba yang pernah berbaiah pada-Nya.

Lalu pabila diteroka seutas kata yang terlahir dari bisik sendiri,
Hati dan jiwa ini mula menangis sendiri,
Betapa jiwa ini akhirnya dipujuk oleh kata-kata sendiri,
Betapa aku yang dahulu jauh lebih kuat dan gagah,
Betapa sekeping hati ini dahulunya jauh lebih suci,
Jauh lebih ikhlas.

Sedang aku mengharap pujuk cinta dari manusia lain,
Allah hadirkan aku yang dahulu untuk memujuk,
Allah datangkan jiwa yang pernah suci itu untuk membasuh kembali segala karat dan kotoran yang melekat pada jiwa ini,
Maka akhirnya hati yang 'tua' itu lah jua yang merawat segala penyakit yang bersarang pada hati yang sudah tawar ini.

Apa khabar imanku hari ini?

Moga terus thabat wahai hati dan jiwa yang mengharapkan keredhaan Yang Maha Esa.
Moga jiwa ini terus dijirus kata-kata cinta dari hati yang tulus menginginkan cinta-Nya.


- - - - - - - - - - - - -  - - - - - - - - - -
Dari hati yang kini,

Untuk hati yang akan datang.






Tuesday 1 March 2016

Mampu kah aku?

Bismillahirahmanirahim.
Semalam dikejutkan dengan berita kematian seorang senior di sekolah dulu. Muda lagi umurnya. Belum pun masuk ke usia 21 tahun. Berdasarkan apa yang aku maklum, arwah meninggal kerana accident  dalam perjalanan ke program dakwah. Allahu. Tadi ada borak-borak dengan senior sekolah, yang sekelas dengan arwah, katanya ketika jenazah arwah sampai ke rumah, terhidu bauan yang wangi oleh tetamu-tetamu yang hadir. Allahu.
Arwah dulu seorang yang pendiam. Memang aku tak rapat langsung dengan arwah. Sekadar kenal muka sahaja. Namun pemergian arwah membawa impak yang besar kepada aku. Mungkin kerana perbezaan umur yang tak ketara, juga kerana kami dididik dengan fikrah yang sama. Untuk memperjuangkan agama Allah. Membawa manusia daripada menyembah sesama makhluk kepada mengesakan Allah yang satu.
Perginya arwah dalam bergerak kerja demi Islam. Allahu. Kematian yang indah. Mati dalam memperjuangkan agama Allah. Allahu. Jujur. Aku terkilan. Sepanjang hidupnya mungkin arwah kurang dikenali, namun pemergiannya berjaya membawa sekeping hati untuk menginsafi kealpaan sendiri dalam berjuang untuk agama-Nya. Allahu.
Aku terfikir, arwah pergi dalam keadaan semua orang redha kepadanya, dan Allah redha kepadanya, in shaa Allah. Arwah pergi meninggalkan dunia ini dengan peringatan buat mereka yang masih hidup untuk terus berjuang demi agama ini. Namun andai kata tiba saat kematianku, mampukah aku untuk pergi dalam husnul khatimah? Mampukah aku berjuang demi agama ini sehingga penghujung hayatku? Mampukah aku untuk terus teguh bersama gerabak ini dengan kesedaran yang hakiki?
Buat aku termenung panjang. Buat aku teringat ucapan saudara Afiq.
"Cuba entum bayangkan, suatu hari Rasulullah saw muncul dalam tidur entum. Dengan serban di kepala baginda dan tongkat di tangan baginda, serta jubah baginda yang lusuh. Lantas Baginda tanyakan kepada entum, 'apa khabar umatku pada hari ini?' Lalu apa yang entum mampu jawab kepada baginda? Sanggupkah entum beritakan kepada baginda akan keadaan umat baginda pada hari ini, setelah entum telusuri sunnah perjuangan baginda dalam memperjuangkan Islam? Lalu apa yang entum akan jawab kalau baginda bertanya lagi, 'Apa yang kamu dah buat untuk umatku? Wahai Afiq, apa yang kamu dah sumbangkan untuk umatku pada hari ini?' Entum rasa ana mampu ke jawab soalan itu? Ana rasa seolah ana tak buat apa-apa pon untuk umat Islam pada hari ini. Kosong."
Allahu. Saudara Afiq ni merupakan seorang yang sangat hebat di pentas dakwah. Seorang yang berperibadi sederhana. Dari air mukanya, boleh digambarkan betapa dekat dirinya dengan Allah yang maha esa. Namun beliau sendiri tak mampu nak jawab soalan kedua itu. Allahu. Lantas apa yang aku mampu jawab. Bahkan untuk berhadapan dengan Rasulullah saw pun buat aku rasa hina dan malu. Malu kerana aku langsung tak bersungguh untuk bergerak kerja demi Islam. Malu kerana jauhnya hubungan aku dengan sang pencipta. Malu kerana jarangnya aku berselawat ke atas baginda. Apatah lagi untuk menyumbangkan sesuatu kepada umat ini. Jauh. Aku masih jauh. Bahkan aku mungkin masih jauh dari garisan permulaan. Jauh.
Mana usaha aku untuk tegakkan kalimah La ilaaha illallah? Setitik peluh pun tak pernah keluar dari tubuh aku kerana bergerak kerja demi Islam. Setitis air mata pun tak pernah keluar dari mata aku kerana memikirkan umat yang makin tenat. Allahu. Jauhnya aku. Aku kata aku bergerak kerja demi Islam, tapi hubungan dengan Rabb pun masih tak terjaga. Sekelumit rindu kepada Rasulullah saw pun tak pernah terpendam. Jauhnya aku dari jalan ini.
Allahu. Moga-moga Allah tetapkan hatiku dan hatimu wahai sahabat dalam memperjuangkan Islam. Moga-moga perjuangan kita tak terhenti sekadar di waktu lapang. Moga-moga kita makin bertambah ilmu dan amal demi manfaat umat ini. Amin ya rabbal alamin.
Wallahua'lam.

Wednesday 23 December 2015

Boommm

Kononnya nak menyumbang untuk ummah. Kononnya nak berdakwah kepada masyarakat. Kononnya nak bawa Islam kepada orang sekeliling.

Tapi macam mana dengan usaha?

Kelaut.

Ilmunya pula?

Kelaut.

Amal ibadahnya?

Kelaut.

Tahu cakap je. Tapi tak tahu nak buat. Sebab dah rasa diri sendiri tu hebat. Rasa megah. Dah rasa cukup ilmu di dada. Kamon lah. Jangan sampai suatu hari nanti, kau terpaksa gigit jari menanggung malu sebab orang yang kau pandang rendah itu sebenarnya punya ilmu yang lagi banyak dari kau.

Hey! Sedar lah. Jangan asyik sangat duk bermimpi. Sebelum nak jaja kehebatan diri, check dulu. Solat subuh kau tu pukul berapa? Al-quran baca ke tidak? Hafal ke tidak? Hadith 40 yang basic tu pun dah hadam ke? Dah faham betul-betul ke?

Bangun lah. Bangunnnnnn. Kau tu siapa nak rasa hebat. Nak rasa berilmu. Nak rasa gah. Nak dipuji. Nak disanjung. Nak dihormat?

Sedar weh. Allah dah banyak kali tegur. Allah dah banyak kali bagi petunjuk. Tak cukup lagi ke hah?

Ummat tengah tenat. Boleh pulak kau nak bersenang-lenang tengok citer korea. Tengok anime. Tidur sampai pukul 12 tengah hari. Bilik tunggang-langgang.

Kau kata nak berpegang dengan akidah perjuangan ini. Tapi sejauh mana pegangan kau pada akidah ini? Jangan ingat dengan kau pergi majlis2 ilmu tu semua, kau tu hebat. Belum tentu ade berkat dalam ilmu yang kau dapat tu.

Wake up!! Masih banyak yang kau kena belajar. Masih banyak ilmu agama yang kau kene dalami. Banyak lagi weh. Ilmu Allah tu kan luas. Perjuangan kau dalam mwnuntut ilmu takkan pernah habis. Sedar lah. Udah2 lah tu nak bermimpi.

Ilmu itu kunci untuk kau berdakwah, kau tahu tak? Kau nak berdakwah apa kalau kau takde ilmu hah? Nak goreng ikut akal fikiran kau? Jangan weh. Kau tu bukan ulamak.

Dah. Bangun eh. Jangan lagho. Ingat Allah selalu. Buang ego dalam diri. Pergi belajar. Dan jangan pernah rasa cukup dalam belajar. Dalam pada itu, tawadhuk lah. Jangan pandang rendah kepada orang lain. Hati mereka barangkali lagi suci dari kamu. Jangan pernah menilai dan menghukum orang lain. Itu kerja Allah. Tau?

Friday 27 November 2015

Suatu keinginan

Melihat figura-figura di alam maya merantau jauh ke negara orang, buat aku cemburu buta. Mereka punya wang. Mereka punya masa. Mereka punya kebebasan. Yang mana semua itu tak dapat aku rasai.

Alangkah indah andai impian bisa akhirnya menjadi suatu realiti. Andai angan panjang yang diidamkan saban hari, akhirnya bisa terlaksana pada hari ini. Hakikatnya cita dan impianku banyak sekali. Menggunung tinggi dan berderet panjang. Aku ingin ke sana. Aku ingin ke situ. Aku mahukan ini. Aku dambakan itu. Banyak. Namun satu pun masih belum mampu untuk aku capai.

Lantas aku renung batang tubuh sendiri, yang sedang nyenyak berbaring di atas katil empuk. Sedangkan tugasan masih banyak yang terbengkalai di atas meja, malah mungkin ada yang sudah tamat tempoh waktunya. Dan aku masih tertiarap selesa berpelukkan bantal dan selimut.

Mana mungkin impian dan cita dapat digapai andai kesenangan dan kemewahan yang menjadi tabiat. Mustahil. Mustahil cita akan tercapai kalau duduk bersahaja itu menjadi hobi saban waktu. Telefon pintar berskrin sentuh pula seakan teman akrab yang tak pernah dilepas genggamnya oleh tangan. Sedangkan benda alah itu takkan mampu membantu aku mengejar cita-cita.

Namun untuk aku bangkit dan terus berusaha, aku tak punya kudrat. Jiwa aku masih belum cukup kuat untuk terus menerus mengerahkan segala keringat demi cita dan impian. Mungkin kerna aku masih jauh. Tak mungkin akan aku mampu untuk gapai cita-cita tanpa sokongan dari seseorang. Atau mungkin itu hanya alasan, yang aku cipta untuk mengaburi hakikat bahawa keinginan aku sebenarnya masih belum kuat. Hati aku mungkin masih belum bersungguh untuk dapatkan apa yang aku mahu.

Mungkin sudah tiba masanya untuk aku bangun. Untuk aku mulakan langkah pertama, ke arah suatu perubahan. Barangkali hanya suatu perubahan kecil yang mampu aku cipta. Barangkali perubahan itu tak terlihat pun dek mata kasar. Barangkali tiada yang nelihat pun penat lelah aku, tapi aku yakin. Ada DIA yang sedang memerhati.

Allahu yusahhil umuruna.

Wahai tuhan yang mebolak-balikkan hati kami, tetapkanlah hati-hati kami pada agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.

Bantulah aku andai aku rebah. Kenanglah aku dalam doamu. Pimpinlah aku kepada redha-Nya.